ADN Batu Tiga Danial Al Rashid Haron (tengah) bergambar bersama peserta ketika majlis berbuka puasa bersama pengasuh anjuran Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Kanak-kanak (IMPAK) di Best Western I-City, Shah Alam pada 30 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kursus pendidikan awal kanak-kanak angkat martabat pengasuh dari rumah

SHAH ALAM, 3 APRIL: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga memuji inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK).

Danial Al Rashid Haron berkata program itu mampu mengangkat martabat pengasuh dari rumah dengan tambahan beberapa aspek kursus penjagaan.

“Pengasuh di rumah ini jika kita melihat daripada sudut pengalamannya memang agak luas cuma mereka mungkin kurang pengetahuan daripada aspek keselamatan.

“Justeru, dengan adanya kursus IMPAK ini kita yakin ia sedikit sebanyak dapat membantu pengasuh di rumah untuk lebih cakna berhubung perkara seperti keselamatan dan kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 100 pengasuh program berkenaan di Best Western Hotel, i-City di sini Ahad lalu.

Majlis dihadiri Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei yang menyasarkan 1,000 pengasuh dari rumah menyertai program terbabit.

Danial Al Rashid yang juga pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor berharap peserta IMPAK dapat memberi komitmen sebaiknya sepanjang kursus.

“Kita juga berharap pengasuh di rumah ini dapat memberi maklum balas berhubung penjagaan kanak-kanak yang mungkin pihak kami terlepas pandang dan boleh ditambah baik,” jelasnya.


Pengarang :