Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dan asnaf di Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh pada 3 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais agih duit raya, dana fidyah kepada anak yatim di rumah kebajikan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 129 anak yatim dan asnaf Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras di sini menerima sumbangan duit raya dan bantuan fidyah daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia bertujuan meringankan beban dan menambah keceriaan mereka menjalani ibadah puasa serta persiapan menyambut Aidilfitri.

Abdul Aziz berkata selain sumbangan duit raya berjumlah RM1,290 turut disampaikan bantuan fidyah Mais berupa pek makanan kering bernilai RM2,230.

“Turut diadakan hari ini adalah program gotong royong menyediakan 1,000 bekas bubur lambuk dan diedarkan kepada rumah anak yatim dan masyarakat sekitar,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menyampaikan bantuan fidyah kepada wakil Rumah Kasih Harmoni di Sungai Buloh pada 3 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis sumbangan duit raya, agihan fidyah Mais dan agihan bubur lambuk di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, di sini.

Sementara itu, Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras Jamaluddin Wahab berkata bantuan diterima membantu meringankan perbelanjaan bulanan yang mencecah RM25,000 sebulan.

“Penghuni di sini terdiri daripada anak yatim dan asnaf berusia antara dua bulan hingga 18 tahun. Bantuan pek makanan kering ini sangat membantu untuk penyediaan juadah mereka di sini terutama dalam bulan Ramadan,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof mengagihkan bubur lambuk kepada wakil-wakil rumah kebajikan sempena majlis sumbangan duit raya, agihan fidyah dan bubur lambuk di Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh pada 3 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof bergambar bersama selepas menyampaikan bantuan fidyah serta duit raya anak yatim dan asnaf di Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh pada 3 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :