Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media selepas menyempurnakan Program Communication, Education, Participation and Awarness (CEPA) sempena lawatan di Hutan Simpan Kina Benuwa, Labuan pada 5 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Gempur Raya: 39 kompaun dikeluarkan terhadap kilang seluruh negara

SHAH ALAM, 4 APRIL: Sebanyak 97 tindakan termasuk 39 kompaun berjumlah RM78,000 dikeluarkan terhadap kilang di seluruh negara selepas didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 menerusi Op Gempur Raya setakat semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kompaun berkenaan dikeluarkan susulan pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap 203 premis industri bermula 17 Mac lepas.

Beliau berkata selain kompaun, JAS turut mengeluarkan 50 notis arahan, lima tindakan penahanan kelengkapan operasi selain membuka tiga kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.

“Operasi ini merupakan usaha berterusan JAS dalam mencegah berlakunya insiden-insiden pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air pada musim perayaan,” katanya dalam sidang media Op Gempur Raya 2024 di sebuah kilang di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata antara kesalahan yang dikesan dilakukan adalah pelepasan efluen perindustrian tidak terawat, pelupusan haram buangan berjadual serta melepaskan asap melebihi kadar ditetapkan.

Beliau berkata operasi melibatkan pemeriksaan premis secara bersasar dan besar-besaran itu membabitkan premis yang dikenal pasti mempunyai tahap pematuhan rendah kepada AKAS 1974 atau sektor industri yang berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar.

Nik Nazmi berkata premis tumpuan adalah melibatkan industri pembuatan produk logam, kertas, galian bukan logam, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik serta produk berasaskan petroleum.

Tumpuan juga diberikan kepada premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :