Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan Jalan Tenggiri, Seberang Jaya sempena lawatan ke Pulau Pinang pada 5 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM titip pesanan anggota Kastam, Imigresen bertugas dengan berdisiplin, integriti

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), diingatkan sentiasa bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.

Pesanan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota penguat kuasa berkenaan, ketika membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), semalam.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Anwar juga mahu semua anggota berkenaan memastikan tiada lagi kecurangan berlaku, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Dalam hantaran sama yang turut disertakan dengan video rangkuman tinjauan Perdana Menteri ke LTAPP, Anwar berkata lawatan terbabit, bagi melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya JKDM dan JIM.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar, sempena lawatannya ke negeri itu semalam dilapor berkata pembesaran LTAPP merupakan antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :