Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berucap sempena majlis Ihya’ Ramadan Pekawanis 3.0 Khatam al-Quran Perdana di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 6 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pekawanis peruntuk RM185,000 sumbangan kepada ibu tunggal, asnaf

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan sejumlah RM185,000 untuk sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 1,000 ibu tunggal dan asnaf di negeri ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata penerima terpilih daripada 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menerima duit raya RM150.

“Program ini masih bergerak dan ia dijalankan di setiap 52 DUN dalam Selangor. Sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban mereka dalam menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ihya’ Ramadhan Pekawanis 3.0 Khatam al-Quran Perdana di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Berkongsi sumbangan asnaf antara tujuh program dilaksana Pekawanis sempena Ramadan, Masdiana berkata, tadarus dan majlis khatam al-Quran yang dianjurkan hari ini juga merupakan salah satu daripadanya.

Katanya, turut diadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih setiap hari di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar sehingga malam raya serta program qiamullail pada malam 27 dan 29 Ramadan.

“Kita turut menganjurkan program Bubur Lambuk Pekawanis 4.0 di 40 DUN serta bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk program jelajah bubur lambuk pada 23 Mac lalu dan berjaya mengagihkan 7,000 bekas.

“Pekawanis turut mengadakan majlis iftar dan solat Tarawih bersama empat rumah anak yatim di Rumah Puteri Arafiah serta sumbangan duit raya dengan barang keperluan asas,” katanya.

 


Pengarang :