AMPANG, 7 APRIL: Tindakan seorang anak yang sanggup menjual kereta demi membiayai kos rawatan bapanya mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Simpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan, pemimpin tertinggi negeri itu meluangkan masa menziarahi Arifin Fadli di Flat Taman Al-Ridhuan, dekat sini, semalam.
Beliau turut menghulur sumbangan peribadi bagi meringankan beban Arifin, 61, yang kini disahkan menghidap strok selain berdepan masalah salur jantung bengkak.
Sementara itu, anak Arifin, Arie Yudistira Ishaq, 35, berkata dia terpaksa menjual kereta Perodua Alza miliknya demi memastikan bapanya menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Jelasnya, keputusan segera itu dibuat memandangkan mereka sekeluarga perlu menyediakan lebih RM30,000 sebagai persediaan kos rawatan bapanya di hospital.
“Itu sahaja jalan mudah dapatkan duit dengan segera. Kalau hospital beri tarikh pembedahan, kami kena sediakan kos. Kami mahu pembedahan segera kerana risiko sangat tinggi jika saluran pecah.
“Ayah sendiri hilang sumber pendapatan sebagai peniaga makanan, justeru saya dan dua adik berusaha menyediakan keperluan ayah, emak serta seorang lagi adik berusia 15 tahun,” katanya.
Selain menerima bantuan daripada Dato’ Menteri Besar, Arie menjelaskan keluarganya turut menerima sumbangan daripada penyelaras Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.