Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk setempat di Masjid Selayang Baru, Gombak pada 6 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jentera HARAPAN digerakkan, sedia pelan kekalkan DUN Kuala Kubu Bharu

GOMBAK, 7 APRIL: Jentera pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mula digerakkan dengan pelan khusus berhubung persiapan dijadual dibentangkan hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pilihan calon juga akan diteliti dalam waktu terdekat dan diputuskan Majlis Pimpinan Presiden gabungan itu.

“Setakat ini, kita sudah mengarahkan jentera PRK bergerak dan esok (hari ini) saya akan mendengar taklimat secara khusus pelan menyeluruh bagaimana persiapan dan pelan kita berdepan PRK.

“Saya mewakili HARAPAN dan kerajaan perpaduan mahu bekerja lebih keras dan memastikan mendapat majoriti untuk PRK ini,” katanya ditemui dalam majlis sumbangan Aidilfitri di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar percaya pembangkang tiada hujah kukuh untuk menyerang negeri, sebaliknya hanya akan membangkitkan isu kerajaan persekutuan.

“Pembangkang seolah tiada isu yang jitu untuk serang, apa dibangkitkan mereka isu persekutuan yang kadangkala tiada kena mengena dengan negeri. Apapun, saya serahkan kepada pengundi,” jelasnya.

Hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Bharu bakal diadakan pada 11 Mei, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas selepas beberapa tahun bergelut melawan barah.


Pengarang :