Ketua Polis Johor CP M.Kumar dua, (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas antaranya pil dan serbuk ekstasi, ketamin, syabu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 7 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Sindiket edar, proses dadah libat rampasan lebih RM2 juta tumpas

JOHOR BAHRU, 7 APRIL: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dengan penahanan tiga individu serta merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM2 juta di sekitar bandar raya ini dan Seri Alam, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta wanita warga asing berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres di bandar raya ini pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada seorang individu yang ditahan itu, polis menemukan 13.6 kilogram serbuk esktasi yang diletakkan di dalam 345 peket dan tiga bekas, 27 pil ekstasi, 1.20 gram ketamin dan 24.7 gram syabu di sebuah rumah teres di Seri Alam.

“Dadah itu dipercayai diperoleh dari negeri berdekatan dan diubah suai atau diproses menjadi jus, serta kemudian dijual pada harga lebih RM200 bagi satu peket di pasaran tempatan terutama di pusat hiburan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan menjadikan rumah teres yang disewa di Seri Alam itu sebagai stor penyimpanan dan tempat pembungkusan semula dadah.

Kumar berkata ketiga-tiga individu itu didapati positif Methamphetamine manakala dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata pihaknya giat mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu.

Kesemua yang ditahan, katanya direman seminggu hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :