AGENDANASIONAL

Warga emas hilang sejak Sabtu ditemukan meninggal dunia

KUALA TERENGGANU, 9 APRIL: Seorang lelaki warga emas Mohamad Ngah yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas, hari ini ditemukan telah meninggal dunia, kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan penemuan mayat mangsa yang berusia 67 tahun itu, daripada orang awam di sekitar tapak pembinaan di Kampung Banggol Katong, di sini pada pukul 10.25 pagi tadi.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Cabang Tiga diarahkan ke lokasi, sebelum bertemu dengan anak mangsa Mohd Nor Hisyam, 31, yang mengesahkan mayat tersebut milik bapanya.

“Polis percaya mangsa telah meninggal dunia kira-kira dua hari lepas. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna dan hasil pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan luaran lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, adik mangsa Mohd Azis menerusi sebuah hantaran di media sosial melahirkan rasa syukur, kerana pencarian mereka sekeluarga mengesan abangnya yang lebih dikenali sebagai Din sejak Sabtu lepas, berakhir.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami nak bawa Abang Din balik sebelum raya. Jasadnya sempurna. Terima kasih kepada yang membantu, mendoakan dan menyokong sepanjang empat hari Abang Din hilang,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Bernama melaporkan Muhammad hilang selepas keluar dari rumahnya secara sehelai sepinggang tanpa membawa beg duit, telefon bimbit mahupun memakai topi keledar pada kira-kira pukul 8 pagi Sabtu lepas.

Penjual ikan dan sayur itu dikhuatiri hilang oleh ahli keluarganya, kerana bapa kepada tiga orang anak itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan lemah daya ingatan, selain baru sahaja sembuh daripada demam pada minggu sebelumnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :