AGENDAJENAYAH

Empat pekerja asing cedera termasuk seorang patah tangan dirompak

REMBAU, 9 APRIL: Empat pekerja warga asing cedera termasuk seorang patah tangan kanan selepas rumah kongsi dihuni mereka di Kampung Senama, Tanjung Keling, di sini, disamun lima lelaki awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata dalam kejadian pada 3.50 pagi itu, kelima-lima suspek yang memakai topeng dan membawa senjata telah memecahkan pintu rumah kongsi tersebut.

“Kesemua suspek telah bertindak memukul mangsa iaitu tiga warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar berusia antara 21 dan 45 tahun hingga cedera sebelum mengambil telefon bimbit milik tiga mangsa dan melarikan duit RM3,400.

“Pemeriksaan oleh doktor mendapati tiga daripada mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima beberapa jahitan, manakala seorang lagi patah tangan kanan dan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada mangsa bernasib baik apabila telefon bimbitnya tidak diambil suspek kerana disorokkan sebelum menghubungi Biro Keselamatan Kampung untuk meminta bantuan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :