Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena majlis bertemu penjawat awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 9 Februari 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM: Malaysia adakan mesyuarat khas susulan ketegangan Iran-Israel

SHAH ALAM, 14 APRIL: Malaysia akan mengadakan satu mesyuarat khas petang ini susulan ketegangan yang berlaku antara Iran dan Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat berkenaan membabitkan beberapa jemaah menteri dan pegawai bagi merangka pelan tindakan.

“Mengenai peperangan berlaku antara Iran dan Israel yang berpunca daripada serangan Israel ke atas kedutaan Iran, ini melanggar undang-undang antarabangsa.

“Pelanggaran sudah pasti mengundang tindak balas, jadi kita akan adakan mesyuarat khas jam 6 petang ini bersama beberapa jemaah menteri dan pegawai berkenaan untuk merangka tindakan yang perlu diambil untuk meredakan keadaan.

“Tetapi di peringkat antarabangsa perlu menuntut dijamin penyelesaian kedamaian di timur tengah kerana apa yang berlaku disana menjejaskan keamanan dan ekonomi dunia,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa dan majlis sambutan kelahiran Dr Ambedkar ke-133 di IDCC di sini, hari ini.

Terdahulu, Iran memaklumkan telah melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke Israel.

Perkara itu disahkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) negara itu selepas Israel berkata Teheran telah memulakan serangan ke atasnya.

Serangan itu merupakan susulan selepas serangan Israel ke atas konsulat Iran di Syria membunuh tujuh anggota IRGC pada 1 April lalu.


Pengarang :