SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan sentiasa mengambil berat isu kebajikan rakyat tanpa mengira kaum termasuk golongan minoriti.
Perdana menteri berkata selain memperkasa ekonomi Bumiputera, agenda utama pentadbirannya adalah memastikan nasib kaum minoriti terus terbela.
“Perkara ini dibangkitkan masyarakat India, jadi saya nak berterus terang. Saya jadi perdana menteri lebih setahun dan menjanjikan keadilan untuk semua. Saya peduli tentang kaum minoriti di bawah, jika miskin semua mesti dibantu.
“Syukur di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang kita dapat selesaikan hampir keseluruhan miskin tegar tanpa mengira kaum. Bukan itu sahaja, kemudahan di sekolah juga seperti tandas membabitkan sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil juga hampir dibaiki keseluruhannya.
“Saya perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia, mari bersama-sama kita bekerja sebagai satu pasukan dan ia boleh dilaksana kalau bekerjasama,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa dan majlis sambutan kelahiran Dr Ambedkar ke-133 di IDCC di sini, hari ini.
Anwar memaklumkan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India, sebaliknya pelbagai dan inisiatif diberikan bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum tersebut.
“Antaranya kerajaan ambil pendekatan memasukkan belia India ke program penyelenggaraan lesen kapal terbang dan dron. Bukan itu sahaja, melalui Yayasan Petronas kita pastikan kakitangan India diambil dan setakat tahun lalu pengurusan mengambil lebih 1,000 individu.
“Malah, setakat 1 April ini, seramai 78 anak-anak India mendapat biasiswa Petronas. Saya beritahu di sini kerana kita buat, kalau sebaliknya boleh tegur dan sergah.
“Banyak program kita buat yang tidak pernah dianjurkan sebelum ini tetapi mungkin kelemahannya apabila pemimpin India tidak sempat menceritakan apa yang telah dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyifatkan undangan ke majlis sambutan Dr Ambedkar, tokoh ekonomi di India itu adalah satu penghormatan bagi dirinya.
“Ini bukan upacara biasa kerana Dr Ambedkar adalah tokoh besar India dan dunia yang memperjuangkan erti kebebasan, keadilan terutama bagi golongan miskin serta terpinggir,” katanya.