Pelajar tajaan dermasiswa luar negara Lembaga Zakat Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Timur Tengah pada 8 Oktober 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS)
AGENDAGLOBAL

Konflik Timur Tengah: KPT bincang keperluan bawa pulang pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi sebarang tindakan lanjut susulan konflik di Timur Tengah ketika ini, termasuk keperluan sekiranya ada, untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari negara terjejas.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan rekod semasa, pelajar Malaysia yang berdaftar adalah sebanyak 1,872 orang yang berada di Jordan, 37 orang di Syria, lapan di Iran, manakala tiada pelajar negara ini dilaporkan di Lubnan dan Iraq.

“Kementerian mengambil maklum situasi terkini di Timur Tengah yang melibatkan Iran dan Israel serta secara tidak langsung memberi tempias kepada negara-negara di sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lubnan dan Iraq.

“KPT memantau menerusi pejabat Education Malaysia di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menasihati pelajar-pelajar Malaysia di negara yang terlibat agar terus bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Kepada pelajar dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran melalui talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau e-mel [email protected] dan [email protected].

Bagi Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, boleh menghubungi talian (+962) 6590 2400 (+962) 78590 2400 atau e-mel [email protected] dan [email protected].

– BERNAMA


Pengarang :