Pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak bagi menempatkan lebih 100 penduduk Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah yang terjejas akibat banji kilat pada 16 April 2024. Foto Ramanan Ramakrishnan Official Media
ADNSELANGOR

Lebih 100 penduduk Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah terjejas banjir kilat

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah diarah untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada individu terjejas akibat banjir kilat di kawasan itu petang tadi bagi meringankan beban mangsa.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R. Ramanan, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dalam hantaran di laman Facebook malam ini berkata sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian itu, beliau segera membuat lawatan serta meninjau keadaan semasa di kawasan terjejas.

Beliau berkata antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah.

Keadaan banjir kilat di Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubur Gajah pada 16 April 2024. Foto JBPM Selangor

“Setakat ini, sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak yang menempatkan lebih 100 mangsa terjejas.

“Saya turut menghubungi pegawai-pegawai dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan mangsa banjir diuruskan sebaik mungkin,” katanya.

Ramanan turut mengingatkan semua penduduk di Sungai Buloh supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga selain memantau anak-anak kecil, warga emas serta orang kurang upaya.

– BERNAMA

 


Pengarang :