Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah diteruskan ke lapan lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 19 APRIL: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lapan lokasi pada hujung minggu ini.

Jualan bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di Taman Intan Kapar (Meru), Taman Kajang Utama (Sungai Ramal), Taman Subang Mas (Batu Tiga) dan Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri (Kuang) pada Sabtu ini.

Manakala, pada Ahad pula, jualan murah itu diadakan di Balai MPKK Balai JKK Kg Batu 14 (Seri Serdang), Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa (Kuala Kubu Bharu), gelanggang bola keranjang, sebelah SJKC Tche Min (Sungai Pelek) dan Laman Naluri, Jalan Besar Kundang (Kuang).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program dikenali sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022 dan pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut memberi manfaat kepada lebih dua juta rakyat Selangor sejak diperkenal dua tahun lalu.

 


Pengarang :