Ziarah Kasih Raya di sekitar DUN Kuala Kubu Bharu pada 19 April 2024. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

Ziarah Kasih Raya singgah 13 rumah penduduk susah sekitar DUN Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 20 APRIL: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkunjung ke 13 rumah penduduk susah sekitar DUN Kuala Kubu Bharu menerusi program Ziarah Kasih Raya, semalam.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata kunjungan itu disertai beberapa agensi Kerajaan Negeri bagi melihat keperluan bantuan untuk golongan berkenaan.

Agensi terlibat adalah Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), SUKA Batang Kali dan Wanita Berdaya Kuala Kubu Bharu.

“Konvoi raya paling pantas, tidak makan tidak minum tiga belas rumah selesai dalam masa tiga jam sahaja!

Ziarah Kasih Raya di sekitar DUN Kuala Kubu Bharu pada 19 April 2024. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

“Sebenarnya kami bukan konvoi raya biasa, Ziarah Kasih Raya sekitar DUN Kuala Kubu Bharu ini menjengah tiga belas rumah mereka yang memerlukan dan ditimpa musibah,” katanya di Facebook.

Tambah beliau, pihaknya turut menyerahkan sumbangan tunai daripada pejabat Dato’ Menteri Besar selain mendaftarkan penduduk dengan LZS atau JKM mengikut kesesuaian.

“Bekalan seperti ubat-ubatan, katil hospital dan keperluan seperti lampin pakai buang dewasa serta susu turut kami sediakan untuk tempoh sebulan sebelum permohonan mereka diluluskan.

“Mungkin inilah juga sebahagian daripada keindahan Syawal, kita gembira bukan kerana menerima sahaja yang lebih bermakna apabila kita dapat memberi yang lazimnya adalah hak mereka,” katanya.


Pengarang :