Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tuduhan liar untuk pilihan raya, aktivis pembangkang berdepan saman

SHAH ALAM, 20 APRIL: Aktivis pembangkang berdepan tindakan saman berikutan perbuatan melempar tuduhan tidak berasas terhadap Dato’ Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar menjelaskan tuduhan Badrulhisham Shahrin atau Chegu Bard tidak jauh beza dengan tohmahan sebelum ini yang menyebabkannya disaman Amirudin.

Saifuddin Shafi Muhammad juga menyifatkan tuduhan terbaru itu tidak ubah seperti episod ulang siar yang dibuat Chegu Bard dalam kempen pilihan raya negeri Selangor baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Beliau berkata aktivis berkenaan bakal menyertai kelompok pemimpin pembangkang yang disaman Amirudin akibat kesalahan fakta semata-mata demi meraih keuntungan politik.

“Dengan beberapa fakta salah dan tersasar yang dikenal pasti melalui hantaran beliau (Chegu Bard) terdahulu, kami dengan segala hormatnya mengalu-alukan beliau menyertai kelompok individu yang akan disaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Chegu Bard mendakwa Amirudin meluluskan tanah secara salah dan mengaitkannya dengan Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd, syarikat yang memajukan pesisiran Sungai Klang.

Saifuddin memberitahu Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor terbuka dan sedia bekerjasama kepada pihak berkuasa bagi membersihkan nama Dato’ Menteri Besar berkaitan dakwaan tersebut.

“Taktik ini tidak lain merupakan cubaan terdesak pihak tertentu menjelang pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu yang sangat mudah dibaca jalan cerita dan skripnya,” kata beliau lagi.


Pengarang :