Umat Islam bersembahyang di Masjidil Haram semasa ziarah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi pada 8 Ogos 2019. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Jemaah haji diseru fokus ibadah, tidak bimbang konflik Timur Tengah

PORT DICKSON, 22 APRIL: Jemaah haji dinasihatkan tidak bimbang dengan konflik di Timur Tengah ketika ini dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadat haji mereka.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ini kerana selain kerajaan Malaysia, Arab Saudi juga sentiasa memberi tumpuan dan penekanan dalam aspek keselamatan, termasuk kepada kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi sebelum ini juga melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sangat baik, terutama dalam menangani pelbagai situasi termasuk konflik, ancaman wabak serta bencana.

“Jemaah haji jangan fikir terlalu jauh, tinggal beberapa minggu lagi untuk berangkat ke tanah suci, buatlah persiapan secukupnya dan apabila berada di sana tumpukan perhatian dan jangan terkesan dengan pelbagai khabar angin.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan pada program pra-pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali kedua di Kuala Lumpur pada 15 Januari 2024. Foto BERNAMA

“Paling penting rujuklah TH jika ada sebarang permasalahan, insya-Allah TH akan bersama-sama jemaah untuk menjalankan ibadah haji sepanjang di sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2024 di sini hari ini.

Syed Saleh berkata situasi di Timur Tengah ketika ini juga dalam keadaan terkawal dan tidak memberi kesan kepada perjalanan umrah dan haji dari negara ini.

Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan TH, selain bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah.

Syed Saleh berkata semua persiapan untuk ke Tanah Suci dengan penerbangan pertama membabitkan 284 peserta pada 9 Mei ini, dilaksanakan dengan baik termasuk penginapan, pengangkutan dan makan minum jemaah sepanjang di sana.

“Pada masa sama, petugas haji juga berlepas ke sana pada minggu ini untuk menyiapkan segala kemudahan seperti pejabat, klinik dan sebagainya bagi menerima kumpulan pertama jemaah,” katanya dan menambah kesemua 31,600 kuota haji pada tahun ini sudah diisi sepenuhnya.

Sementara itu, Syed Salleh berkata program EPIH hasil usaha sama TH dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), bertujuan memastikan setiap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) menjalani pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik, untuk membimbing jemaah haji di tanah air dan Tanah Suci.

Program itu juga katanya bertujuan menjelaskan hukum hakam ibadat haji dan umrah terkini berdasarkan isu dan masalah semasa.

Seramai 126 peserta termasuk dari Pekta, guru agama daripada syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), kakitangan TH dan Usim serta orang perseorangan, menyertai program EPIH yang diadakan selama dua hari bermula 20 April.

– BERNAMA


Pengarang :