Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Dewan Serbaguna MBPJ, Kampung Lindungan pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ratusan serbu jualan murah Seri Setia, sukarelawan bantu penduduk

PETALING JAYA, 22 APRIL: Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia diserbu ratusan penduduk di sini hari ini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Mohammad Azli Jamaasim berkata penduduk sanggup beratur menunggu giliran seawal jam 8 pagi untuk membeli barangan asas murah.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Mohammad Azli Jamaasim

“Buat julung kalinya, jualan murah ini diadakan di DUN Seri Setia bagi tahun ini kerana perlu menunggu giliran ditentukan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Alhamdulillah, jualan berlangsung dengan kehadiran ramai penduduk dan PKPS membawa 250 unit bagi setiap enam produk termasuk ayam, telur dan beras.

“Kita sasarkan kawasan yang komunitinya ramai dan berpendapatan rendah,” katanya ditemui pada program di Kampung Lindungan.

Mohammad Azli menjelaskan pejabat DUN juga menyediakan sukarelawan bagi melancarkan jualan dan membantu penduduk kurang berupaya mengangkat barang.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Lindungan, Nordin Omar

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Lindungan Nordin Omar, 71, berkata JER sering dinanti-nanti penduduk kerana belum dianjurkan tahun ini.

“Mereka memang sering bertanya bila jualan diadakan. Apabila saya dimaklumkan tarikh program jualan, terus saya sebarkan di ‘group’ WhatsApp supaya penduduk dapat hadir.

“Jualan ini sangat baik kepada rakyat terutama dalam situasi harga barangan sekarang tinggi, penduduk bersyukur dengan nilai jualan berpatutan,” katanya.

Pasangan suami isteri Mohd Rashid Zainot dan Faridah Baharom amat bersyukur dan berterima kasih kerana Kerajaan Selangor mengadakan jualan murah yang terbukti membantu penduduk.

Mohd Rashid Zainot dan Faridah Baharom

Rashid, 67, yang juga pesara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata harga ditawarkan amat murah berbanding pasaran luar.

“Saya dan isteri pasti akan datang jika ada jualan diadakan berhampiran rumah. Kami tidak lepaskan peluang kerana program ini membantu menjimatkan ratusan ringgit belanja dapur.

“Sebagai rakyat Selangor, kami berharap program jualan murah ini kerap diadakan kerana sangat membantu rakyat yang berpendapatan rendah,” ujarnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

 

 


Pengarang :