Orang ramai mendengar terjemahan oleh Ahli Majlis Fatwa Thailand Baba Ismail Sepanjang ketika program Siri Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan (mendalami khazanah kitab islam) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Terjemahan kitab Ihya Ulumuddin dalam bahasa Melayu selesai 2026

SHAH ALAM, 24 APRIL: Terjemahan karya kitab Ihya Ulumuddin dalam bahasa Melayu oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dijangka selesai pada 2026, kata pengarah eksekutifnya.

Farhan Affandi menjelaskan karya tulisan Imam Al Ghazali itu terbahagi kepada 20 jilid merangkumi empat rubu’ (bab) dan kini memasuki jilid kelima untuk diterjemah.

“Sambutan diterima bagi terjemahan karya Ihya Ulumuddin amat menggalakkan dengan 3,000 naskhah terjual bagi jilid pertama dan kini sedang memasuki cetakan ketiga,” katanya.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi bercakap kepada Media Selangor selepas program Siri Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan (mendalami khazanah kitab islam) terjemahan oleh Ahli Majlis Fatwa Thailand Baba Ismail Sepanjang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada program siri Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini yang membuka tirai hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan IBDE menumpukan terjemahan karya terbesar berkenaan yang menjadi rujukan sepanjang zaman oleh umat Islam di Malaysia termasuk menubuhkan kumpulan khas.

Menurut Farhan, sebanyak tiga penjermah berkhidmat sepenuh masa ketika ini selain terdapat tiga panel penilai mengikut kepakaran masing-masing berserta seorang penyunting.

“Menerusi komitmen ini, karya Ihya Ulumuddin yang mula diterjemah dalam bahasa Melayu sejak tahun lalu akan selesai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Mengulas program talaqqi, beliau berkata ulama terkemuka Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni akan mengupas karya Ihya Ulumuddin mengikut jilid untuk panduan masyarakat.

Program siri Talaqqi Kitab Turath Islami kembali buat tahun kedua sebagai kesinambungan daripada Festival Turath Islami Selangor yang diadakan Mei tahun lalu.

Melibatkan dua sesi pada hari ini, program tersebut berlangsung pada kuliah Dhuha (9.30 pagi hingga 12 tengah hari) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam).

Program tersebut diteruskan pada Jumaat bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

 


Pengarang :