Pelajar menunjukkan baucar subsidi tambang bas sempena program penyerahan bantuan blueprint dan sumbangan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri salur RM1.1 juta bantuan tambang bas sekolah

HULU SELANGOR, 25 APRIL: Sejumlah RM1.1 juta diperuntuk Kerajaan Negeri tahun ini untuk Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar negeri ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata SJKT terlibat kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman negeri ini dengan kriteria utama penerima adalah golongan kurang mampu.

Mengulas lanjut katanya hari ini, seramai 324 pelajar SJKT sekitar daerah Hulu Selangor menerima baucar subsidi tambang bas sekolah dengan peruntukan keseluruhan RM97,200.

“Peruntukan ini kebanyakannya diterima anak pekerja ladang daripada keluarga B40 yang biasanya bersekolah agak jauh daripada kawasan rumah mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan baucar subsidi tambang bas sekolah kepada pelajar sempena program penyerahan bantuan blueprint dan sumbangan khas Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini bukan sebab nak pilihan raya, memang setiap tahun ada bantuan subsidi ini di bawah portfolio saya. Setiap tahun kita buat dengan saringan terperinci bagi setiap penerima yang antaranya mestilah golongan B40,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Sementara itu, pekerja pembersihan K Shanti, 42, berkata bantuan subsidi RM300 yang diterima boleh menampung bayaran yuran van sekolah anaknya untuk tempoh tiga bulan.

“Setiap bulan kos van sekolah adalah RM100. Jadi dengan jumlah ini tiga bulan ia membantu saya dan boleh disalurkan untuk beli keperluan lain seperti makanan,” katanya.

Pekerja bahagian pengangkutan, K Kanan, 38, berkata tiga anaknya masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak jadi bantuan yang diterima amat membantu menampung persekolahan mereka.

“Mungkin ada orang nampak RM300 ini kecil, tapi bagi kami orang yang kurang senang ini sangat membantu,” katanya.


Pengarang :