SHAH ALAM, 26 APRIL: Ribuan penduduk Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor menikmati pelbagai bentuk bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri sejak pilihan raya negeri Selangor berakhir Ogos lalu.
Sumbangan menerusi Inisiatif Selangor Penyayang meliputi ibu tunggal, warga emas dan murid dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) antara Ogos 2023 hingga Mac 2024.
Bantuan tersebut disalur Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang diterajui Lee Kee Hiong semasa hayatnya sebelum meninggal dunia pada 21 Mac akibat barah.
Seramai 336 ibu tunggal menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), dahulunya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), yang berjumlah RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.
Berikut pecahan kaum penerima:
- 161 Melayu
- 40 Cina
- 100 India
- 35 Orang Asli
Seramai 7,962 warga emas pula penerima Skim Mesra Usia Emas berbentuk baucar Jom Shopping bernilai RM200 seorang dalam tempoh sama.
Berikut pecahan kaum penerima:
- 2,624 Melayu
- 3,857 Cina
- 1,338 India
- 143 lain-lain
Seramai 405 murid yang didaftar dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) menerima bantuan kelengkapan persekolahan iaitu:
- beg sekolah
- alat tulis
- bekas makanan
- tabung
Selain tiga daripada lebih 40 insentif yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang, penduduk setempat yang layak juga menerima sumbangan wang tunai antaranya:
- 11 keluarga di Kampung Sungai Jang Kerling
- RM12,300 untuk penghidap penyakit kronik
Seramai 240 penunggang motor pula menerima bantuan minyak hitam bernilai RM40 bagi meringankan beban mereka.
Pada 24 April, Pang Sock Tao, 31, setiausaha akhbar menteri perumahan dan kerajaan tempatan diumum sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) susulun kekosongan kerusi DUN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Mei dan hari pembuangan undi (11 Mei) bagi pilihan raya kecil (PRK) tersebut.
Dalam pilihan raya negeri pada Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional Teoh Kien Hong dalam saingan empat penjuru dengan majoriti 4,119 undi.
Pertama kali beliau mewakili kawasan tersebut apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dan tiga calon Bebas pada 2013 dengan majoriti 1,702 undi.
Terdapat 40,226 pengundi dalam DUN Kuala Kubu Baharu seluas 617 km persegi. Pengundi Melayu meliputi 62.8 peratus, Cina (18.5 peratus), India (18.2 peratus) dan lain-lain (0.5 peratus).