Suasana di Penjara Kajang pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Insaf aniaya wanita, banduan dalami ilmu agama, khatam al-Quran

Hanya mahu dikenali sebagai Pak Long, banduan lelaki berumur 60 tahun itu sederhana merai Hari Raya Aidilfitri di Penjara Kajang.

Baginya suasana raya sedikit dirasai apabila bersembahyang sunat Aidilfitri dan ketika menikmati hidangan nasi himpit dan kuah kacang beramai-ramai.

Dia bersolat sunat Aidilfitri secara berjemaah di padang dalam kawasan penjara bersama-sama rakan banduan, pegawai penjara dan guru agama.

Selesai ibadah berkenaan, mereka bersalam bermaaf-maafan dan seterusnya menjamah juadah Hari Raya Puasa seperti nasi himpit dan kuah kacang.

Penghuni Penjara Kajang yang dikenali sebagai Pak Long ketika ditemui pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Namun Pak Long tetap merasa sedih saban tahun kerana dia tidak dapat menziarah kubur arwah bapanya pada pagi satu Syawal.

“Yang sedih pagi raya itulah. Sudah siap mandi, sudah solat. Kita hendak pergi solat sunat Aidilfitri. Dibuat di padang ramai-ramai semua. Ada ustaz, tuan-tuan pegawai, kawan-kawan. Kami solat sama-sama.

“Sudah habis solat, bersalaman, peluk bermaafan dengan kawan-kawan, tuan pegawai, ustaz sebab manalah tahu dalam hati kita yang jahat ini ada mengata. Lepas itu ada makanan macam nasi himpit. Kami makan ramai-ramai,” katanya.

Berasal Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, Pak Long dijatuhi hukuman 48 tahun penjara dan 24 sebatan kerana kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketika peringkat awal dimasukkan ke penjara, bapa sembilan anak ini agak sukar menerima realiti terpaksa merengkok di sebalik tembok dalam satu tempoh yang panjang.

“Bila kena 48 tahun, 24 sebat kita tak boleh terima. Jiwa memberontak. Maklumlah tak pernah masuk penjara, tak pernah kena tangkap. Kalau ada kesalahan pun kesalahan pandu kereta lebih had laju sahaja,” katanya.

Namun lama-kelamaan Pak Long mula reda dengan menerima takdir yang menimpa dirinya. Malah dia turut memaafkan tindakan mangsa melapor jenayahnya sehingga dihukum.

Rasa lega

Dia juga meluahkan rasa lega kerana berjaya melalui hukuman 24 sebatan dengan tenang.

Imbaunya, dia dapat menjalani hukuman yang menyakitkan itu dengan membaca surah al-Fatihah sekuat-kuat hatinya ketika rotan diayun deras ke punggung.

“Tuan (pegawai penjara) suruh saya baca apa-apa surah. Pak Long baca Fatihah kuat-kuat. Rotan satu, rotan dua, rotan tiga, macam itulah. Sedar-sedar sudah habis,” katanya.

Sedar hukuman terhadap dirinya menyebabkan ibu bimbang, Pak Long sering memujuk orang tua supaya bersabar dan memberitahu penjara membuka pintu kepadanya untuk memperbanyakkan amal ibadah.

Di situ dia mendalami ilmu agama sehingga beberapa kali khatam al-Quran, mempelajari bacaan doa lazim dalam sembahyang, malah turut menguasai kaedah memandikan jenazah, hasil program bimbingan dalam penjara.

“Tiap-tiap malam hendak tidur, Pak Long menangis dan selalu berdoa dalam hati, Ya Allah ya Tuhanku, aku terima apa yang terjadi di dunia ini.

“Di sini dengan luar lain tetapi orang tak tahu di sebalik tembok ini boleh cari banyak ilmu (agama). Semua ada. Kalau yang tak reti mengaji, jadi boleh mengaji,” katanya.

Suasana di Penjara Kajang pada 2 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain mendalami ilmu agama, bekas tukang masak ini menghabiskan masa dengan bekerja di bengkel roti. Berkat kegigihan mempelajari ilmu membuat roti dan kek membolehkan dia memperolehi sijil Sistem Latihan Dual Nasional.

Kelebihan itu membolehkan Pak Long membuat kek sendiri untuk dirasai bersama rakan-rakan sebilik.

Ketika Ramadan, Pak Long beribadah sehingga lewat malam dengan solat sunat termasuk tahajud dan berdoa hukumannya dapat dikurangkan.

 

 


Pengarang :