HULU SELANGOR, 3 MEI: Warga Kuala Kubu Bharu tidak sabar mengundi pada 11 Mei depan untuk memilih wakil rakyat yang tepat bagi memastikan semua rancangan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dapat diteruskan.
Kakitangan kerajaan, Ramli Asom, 59, berkata mendiang Lee Kee Hiong sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sejak 2013 dan usaha itu harus diteruskan oleh wakil rakyat baharu.
“Saya mengimpikan wakil rakyat yang sama baik budinya seperti mendiang Kee Hiong kerana kami semua sayangkan dia. Mendiang tidak pernah bezakan kami dari apa jua latar belakang.
“Banyak pembangunan dan hal kebajikan yang sudah kami nikmati. Jadi saya akan keluar mengundi dan pilih pemimpin yang baik seperti mendiang,” katanya kepada Selangorkini.
Peniaga, Rosidah Abu Chik, 49, berkata beliau berharap orang ramai keluar mengundi bagi memastikan Kuala Kubu Bharu dapat menikmati pembangunan yang lebih maju setara bandar-bandar lain di Selangor.
Menurutnya Kuala Kubu Bharu masih memerlukan banyak pembaharuan khususnya dalam sistem kemudahan awam, pengangkutan dan capaian akses internet.
“Saya rasa di sini masih perlukan pembangunan tetapi saya sudah nampak ada sedikit perubahan, walaupun agak perlahan berbanding di bandar lain yang lebih pesat.
“Sebagai contoh, saya harap hospital dapat dinaiktaraf seperti di Selayang dan perkasakan juga kemudahan pengangkutan bas kerana perkhidmatan bas sekarang tidak mesra pengguna,” kata ibu empat anak ini.
Bagi ibu tunggal, Siti Fatimah Bulkaini, 38, beliau berharap wakil rakyat baharu dapat menumpukan bantuan atau apa jua inisiatif terhadap golongan memerlukan seperti dirinya.
“Saya mahu keluar mengundi kerana saya hendak pilih calon yang mahu bantu dan memperjuangkan nasib ibu tunggal seperti saya, golongan asnaf atau warga emas.
“Sekarang ini banyak barangan keperluan yang sudah naik harga jadi kami perlu jalan supaya dapat tingkatkan taraf hidup. Berilah keutamaan kepada kami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu gerai.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) diadakan susulan kematian penyandang tiga penggal Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.
Menyaksikan pertandingan empat penjuru, calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.