Oleh Norrasyidah Arshad dan Sofia Nasir
HULU SELANGOR, 9 MEI: Ribuan penyokong memenuhi pekarangan Stadium Mini Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini malam ini bagi menyertai Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale sempena pilihan raya kecil (PRK).
Program menampilkan pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan antaranya Naib Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Setiusahanya Datuk Seri Saifuddin Nasution serta barisan kepimpinan.
Turut menyampaikan ceramah Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Pang Sock Tao, 31, pada PRK Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu yang berlangsung Sabtu ini susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac.
Sock Tao berdepan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia dan Nyau Ke Xin (Bebas).
DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.