Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap kepada media selepas majlis peluncuran buku My Story Beneath Calm Waters di Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada kebenaran pemandu e-panggilan bida harga, menteri arah siasat

MELAKA, 12 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang di negara ini, kata menterinya Anthony Loke.

Beliau berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun sebagai langkah pencegahan, beliau telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak sistem berkenaan yang mula digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing ketika ini.

“Saya akan minta APAD untuk lihat perkata itu, tetapi setakat ini memang tidak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Melaka, Tiang Dua, Ayer Molek, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Negeri Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kewujudan aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini yang mana melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui.

Bagaimanapun, penggunaan sistem tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam apabila kaedah itu seolah-olah memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu.

Dalam perkembangan lain Anthony berkata, laporan siasatan oleh pasukan khas yang menyiasat dakwaan terkandung dalam JPJ Pandora Papers akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) MOT untuk dinilai dan tindakan seterusnya.

Jelasnya setakat ini memang diakui wujud beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam proses pendaftaran nombor klasik memandangkan nombor plat tersebut diperoleh mengikut kaedah sedia ada, namun ia perlu diperketatkan dan dikawal.

“Ini kerana nombor-nombor klasik itu dahulunya didaftarkan tanpa satu proses sistem yang telus dan terperinci kerana pada zaman 50-an dan 60-an ia didaftar secara manual, tidak ada dalam sistem komputer atau aplikasi seperti MySikap.

“Kerana itu kadang-kadang apabila nombor itu didaftarkan, mereka ingat tidak dipunyai orang tetapi suatu masa kemudian, pemilik sebenar datang dan tuntut kembali nombor tersebut. Jadi ia menimbulkan keraguan ke atas sistem kita dan bagi memastikan tiada pertindihan pemilikan pada masa akan datang, kita akan ketatkan dan kawal pendaftarannya,” tambah beliau.

-BERNAMA


Pengarang :