Pengunjung tertarik melihat robot pintar di reruai Entomal Biotech pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SIBS dianjur dua kali, Invest Selangor sasar nilai transaksi RM7 bilion

BANGKOK, 11 MEI: Invest Selangor Bhd menyasarkan nilai transaksi berpotensi sehingga RM7 bilion daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris berkata SIBS akan diadakan dua kali tahun ini untuk menampung permintaan yang semakin meningkat, susulan sambutan menggalakkan terhadap SIBS tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris berucap pada majlis malam penghargaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Mandarin Oriental pada 20 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Tahun lepas kami berjaya mencapai nilai transaksi berpotensi kira-kira RM6 bilion, jadi kami yakin mampu mencapai tambahan RM1 bilion tahun ini, dengan siri pertama ditetapkan pada 25 Julai hingga 27 Julai manakala siri kedua akan diadakan mulai 16 Oktober hingga 19 Oktober,” katanya kepada Bernama selepas mempromosikan SIBS di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan kira-kira 60,000 pengunjung menghadiri pameran perdagangan itu.

SIBS ialah acara perniagaan tahunan yang diusahakan kerajaan Selangor dan dianjurkan oleh Invest Selangor.

Hasan Azhari berkata dua acara dalam siri pertama pada Julai ini akan menumpukan sektor pelaburan iaitu Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC).

Beliau berkata Spark, bertemakan ‘Selangor, Gerbang ke Asean,’ bertujuan mengetengahkan keupayaan dan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan di rantau Asia Tenggara di samping menyediakan acara sehenti untuk mempamerkan potensi lokasi pelaburan di Malaysia serta di Asia Tenggara.

“Pada masa ini, Spark telah menerima lebih 60 peratus tempahan dan sambutannya sangat positif. Ini mungkin kerana Spark (dapat) menawarkan lokasi pelaburan yang berbeza dan sesuai dalam satu acara.

“Delegasi pelabur dan perniagaan boleh menilai dan membuat perbandingan untuk mencari mana-mana lokasi yang sesuai serta rakan kongsi terbaik untuk projek pelaburan mereka,” katanya.

Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata Spark akan menampilkan lebih 150 syarikat bukan sahaja dari Malaysia malah juga dari negara Asean, dan peserta akan terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan.

Hasan Azhari berkata Selangor juga akan mengangkat agenda Asean dalam SABC kerana perkara itu sejajar dengan objektif strategik pertumbuhan ekonomi, kerjasama serantau, sokongan dasar dan peningkatan jenama dalam konteks Asean.

“Selain itu, menjadi kelebihan apabila Selangor melihat Asean sebagai satu ekosistem rantaian bekalan industri yang komprehensif, dengan kita mesti mengakui, sesetengah negara mungkin mempunyai kelebihan daya saing untuk membangunkan bahagian rantaian bekalan industri tertentu, manakala kita menumpukan bahagian rantaian bekalan industri tertentu yang lain.

“Justeru, kerjasama erat penting untuk memastikan Asean secara keseluruhan dapat menarik projek pelaburan ke rantau ini secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata SABC akan menyediakan platform wacana intelektual untuk pelabur dan komuniti perniagaan lebih memahami saranan nilai setiap negara, sebelum melawat pavilion negara di Spark 2024.

“Gabungan acara ini akan menyediakan topik perbincangan dan peluang rangkaian yang sesuai antara bakal pelabur selain pemimpin perniagaan Asean serta pegawai kerajaan yang menghadiri SABC dan Spark,” katanya.

SIBS yang diperkenalkan pada 2015 telah menarik penyertaan pelbagai agensi kerajaan serta peserta industri dan pengunjung perdagangan dari negara luar termasuk China, Singapura, Indonesia, Jepun, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turkiye, Kenya dan Australia.

– BERNAMA

 


Pengarang :