AGENDAGLOBAL

Pemandu pendakian pecah rekod sendiri daki Gunung Everest 29 kali

KATHMANDU, 12 MEI: Pemandu pendakian terkenal, Kami Rita Sherpa berjaya mendaki puncak Gunung Everest buat kali ke-29, memecahkan rekodnya sendiri sebagai pendaki paling kerap menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Pemandu berusia 54 tahun itu tiba di puncak hari ini dan kini sedang menuruni gunung, kata pegawai kerajaan Khimlal Gautam yang ditempatkan di Kem Pangkalan Everest.

Mengesahkan pendakian itu, pengerusi Seven Summit Treks Mingma Sherpa memberitahu Kami Rita mencapai kejayaan berkenaan ketika mengetuai sekumpulan pendaki ke puncak itu.

Dengan pencapaian ini, Kami Rita menambah rekod berbanding pemandu pendakian lain, Pasang Dawa Sherpa, yang mendaki Everest sebanyak 27 kali.
Kedua-duanya menyatakan bahawa pencapaian ini adalah sebahagian daripada sumber mata pencarian dan rekod tersebut tidak pernah menjadi keutamaan mereka.

Dilahirkan di kaki Gunung Everest dalam komuniti etnik Sherpa, Kami Rita memulakan kerjayanya sebagai porter sebelum menjadi pemandu pendakian. Menurut Guinness Book of World Records, beliau mendaki Everest hampir setiap tahun sejak kejayaan pertama pada 1994.

Kepakaran mendaki gunung Sherpa dan pengetahuan tempatan sangat penting untuk laluan selamat ratusan pendaki yang mendaki Everest setiap tahun.

Jabatan Pelancongan Nepal telah mengeluarkan permit kepada 414 pendaki musim ini.

Nepal mempunyai lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia, semuanya melebihi 8,000 meter.

– BERNAMA-dpa


Pengarang :