Lelaki Palestin Wael al-Attar dan keluarga berbuka puasa hanya memakan khobiza, sejenis sayur liar, di sekolah yang menjadi kem perlindungan di Jabalia, utara Gaza pada 22 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Rundingan damai di Palestin, Malaysia sokong peranan penting Qatar

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Malaysia menyatakan sokongan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh Qatar dalam usaha menyelesaikan keganasan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi catatan di Facebook hari ini berkata beliau telah merakamkan sokongan Malaysia kepada Qatar dalam pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Doha pada Ahad.

Mohamad kini berada di Qatar bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan lawatan rasmi ke Qatar hari ini sehingga 14 Mei.

“Kami membincangkan rangka kerja untuk mempertingkatkan lagi hubungan baik dua hala yang sedia ada di antara Malaysia dan Qatar yang telah terjalin sejak 50 tahun dahulu,” katanya.

Menurut Mohamad hubungan dagangan dan pelaburan antara kedua negara di peringkat yang baik dan Qatar menyatakan hasrat untuk mempertingkatkan lagi pelaburan mereka di Malaysia.

Sementara itu Wisma Putra menerusi satu catatan di Facebook berkata dalam pertemuan itu, Mohamad mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat beliau atas peranan penting Qatar dalam usaha tanpa henti untuk menjadi perantara rundingan perdamaian antara Hamas dan Israel.

Menurut Wisma Putra Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar turut berkongsi mengenai situasi di Timur Tengah, khususnya konflik Palestin-Israel, yang memerlukan usaha berterusan berdasarkan kepada dinamik hubungan antara kuasa besar dan Israel.

“Kedua belah pihak menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal dan menekankan kepentingan rundingan yang sedang berlangsung,” menurut catatan Facebook itu.

Menurut Wisma Putra, ucapan Perdana Menteri Anwar semasa lawatan rasmi beliau ke Jerman dilihat sebagai titik perubahan pandangan komuniti global terhadap tindakan agresif dan genosid Israel terhadap Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra berkata dalam pertemuan yang berlangsung, kedua-dua belah pihak menyentuh secara ringkas peranan Malaysia yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC (Majlis Kerjasama Teluk) semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.

Perkara utama yang dibincangkan semasa kunjungan hormat ini tertumpu dalam mengukuhkan hubungan dua hala melalui Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) dan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA).

Menteri Luar turut memanjangkan jemputan kepada Perdana Menteri Qatar untuk melawat Malaysia, menurut Wisma Putra.

— BERNAMA


Pengarang :