Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja pembersihan selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pokok tumbang: 10 kenderaan termasuk kereta peronda polis rosak

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringi kenderaan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof antara 10 kenderaan yang rosak berikutan kejadian pokok tumbang di sekitar ibu kota, susulan hujan lebat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, kereta peronda itu antara yang terkesan dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, bersama lima motosikal dan dua kereta lain.

“Kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di tempat letak kereta di Fakulti Perubatan dan Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya, yang menyebabkan dua kereta rosak.

“Hujan lebat kira-kira sejam petang tadi, turut menyebabkan kejadian dua pokok tumbang di Taman Gembira, Jalan Kuchai Lama menyebabkan sebuah rumah rosak,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun tiada kecederaan berlaku dalam semua kejadian berkenaan.

Berikutan itu JBPM dalam kenyataan itu memaklumkan kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang, sedang dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima laporan sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang pada 3.26 petang tadi.

Beliau berkata kereta jenis Proton X70 itu yang bertindak sebagai kereta pendahulu untuk konvoi yang membawa Ab Rauf, rosak pada bahagian belakang dan tiada kecederaan berlaku terhadap pemandu dan penumpang kereta itu.

– BERNAMA


Pengarang :