AGENDAJENAYAH

Pesara wanita rugi lebih RM600,000 terperdaya pelaburan tidak wujud

JOHOR BAHRU, 13 MEI: Pesara kerugian RM619,390 selepas terperdaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata wanita berusia 56 tahun itu mendakwa ditawarkan menyertai pelaburan berkenaan selepas menerima e-mel Februari lalu daripada lelaki warga asing yang mendakwa pihak keselamatan siber sebuah syarikat.

“Mangsa ditawarkan menyertai pelaburan kripto yang menjanjikan keuntungan antara 35 hingga 50 peratus pada setiap bulan berdasarkan jumlah wang yang akan dilaburkan.

“Lelaki terbabit turut mendakwa boleh membantu mangsa mendapatkan semula wang pelaburan Forex yang dibuat mangsa pada 2020, jika mangsa membuat beberapa transaksi bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat 28 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza antara 19 Februari hingga 7 Mei lalu sebelum berasa curiga dan tampil membuat laporan polis semalam.

Menurut Kumar pihaknya sedang menyiasat lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata sejak Januari lalu hingga semalam 255 kes pelaburan seumpama itu direkodkan dengan kerugian RM21.24 juta.

Justeru itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama melibatkan urusan transaksi kewangan dan mengikuti laman Facebook serta TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi mendapatkan maklumat berkaitan modus operasi jenayah komersial seperti penipuan pelaburan.

– BERNAMA


Pengarang :