Aksi pemain Malaysia Faisal Halim ketika menentang Papua New Guinea pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 Jun 2023. Foto Facebook FAM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan tarik diri Piala Sumbangsih tepat, doa Faisal Halim cepat sembuh (TINJAUAN)

SHAH ALAM, 14 MEI: Keputusan Selangor FC menarik diri perlawanan Piala Sumbangsih adalah tepat kerana ia melibatkan keselamatan pemain dan pengurusan pasukan.

Pemain bola sepak Kuantan City Muhammad Zamir Zaini berkata mengambil kira kejadian Faisal Halim disimbah asid beberapa hari sebelum perlawanan, soal kemenangan diketepikan demi keselamatan semua pihak.

Muhammad Zamir Zaini.

“Sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Tindakan simbah asid ini sangat keterlaluan. Apa motif pelaku? Tindakan ini seolah-olah seperti mahu menamatkan karier Faisal.

“Saya berharap Faisal segera pulih dan dapat kembali bermain kerana bola sepak adalah sumber beliau menyara keluarga.

“Aksi lincah atas padang dan personaliti Faisal yang ceria sentiasa dinanti peminat,” katanya yang juga pernah menyarung jersi Felcra FC kepada Selangorkini.

Sementara itu, Khairul Najib Ibrahim, 46, yang mempunyai anak perempuan aktif sukan bola sepak turut meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan pemain.

Simpati dengan insiden menimpa Faisal, bapa kepada Qaseh Rania, 14, yang meraih gelaran Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2023, turut menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada.

“Semua orang perlu bersifat rasional dan sebagai atlet sepatutnya tidak perlu wujud sifat hasad dengki atau permusuhan, apa yang berlaku di gelanggang sukan patut berakhir di situ.

“Apapun saya dan keluarga mendoakan Faisal diberi kekuatan dari segi mental dan fizikal. Saya harap pihak polis juga dapat menjalankan siasatan dan bawa suspek ke muka pengadilan segera,” katanya.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan keadaan pemain yang memenangi Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas bertambah baik.

Beliau berkata prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami pemain itu menunjukkan reaksi positif.

Khairul Najib Ibrahim (kiri), Qaseh Rania (dua, kiri) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) Ketika bertemu pengurusan kelab bola sepak VfL Wolfsburg.


Pengarang :