SHAH ALAM, 14 MEI: Selangor melaksana misi jualan di Dubai menerusi Arabian Travel Market pada 6 hingga 9 Mei bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama baharu.
Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata kerjasama termasuk bersama KPJ Healthcare bagi mempromosi pelancongan kesihatan dan AirArabia untuk kesalinghubungan dalam penerbangan.
“Sinergi ini dijangka membuka jalan kepada usahasama seperti promosi silang dan sesi niaga ke niaga (B2B) yang mampu meningkatkan profil pelancongan Selangor di peringkat global,” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah terdapat lonjakan kemasukan pelancong yang ketara daripada 89,006 orang pada 2022 kepada 176,711 tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 99 peratus.
Jelasnya, penyumbang utama dari Timur Tengah ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Oman, yang menyumbang 79.13 peratus daripada keseluruhan pengunjung tahun lalu.
Sementara itu, katanya, lima pihak berkuasa tempatan menerima kedatangan pelancong Timur Tengah tertinggi ialah Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
“Perkongsian dengan pihak berkepentingan di peringkat global akan menjadi titik tolak untuk mencapai tujuh pelancong semasa Tahun Melawat Selangor pada 2025,” kata Azrul.