Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya Ismail Haniyeh pada 13 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar bertemu pimpinan Hamas, desak Israel setuju pelan pendamaian

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Malaysia teguh dengan pendirian mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau memaklumkan perkara itu ketika bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya Ismail Haniyeh dan bekas pengerusi Hamas Khaled Mashal di Qatar.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam menghentikan serangan ke atas Rafah termasuk menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Sejak konflik meletus (hampir) lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal kerana kekejaman rejim Zionis.

“Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa,” kata Anwar.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Beliau turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

Semalam, Anwar yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari di Qatar bertemu dua pemimpin tertinggi kerajaan negara itu bagi membincangkan secara mendalam konflik Palestin-Israel dengan mengambil kira perkembangan terkini di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju semua pihak perlu memainkan peranan untuk mencari penyelesaian bagi mengakhiri penderitaan warga Palestin.

Malaysia, merupakan antara negara yang lantang mengutuk kekejaman zionis dan menyokong usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Pertempuran antara Palestin dan rejim zionis, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Okt tahun lepas, kian memuncak dengan pencerobohan terbaharu Israel ke atas Rafah, meragut lebih 35,000 nyawa rakyat Palestin sehingga kini.

— BERNAMA


Pengarang :