Pengunjung tidak melepaskan peluang menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sempena musim cuti sekolah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesta buku KL: IBDE tawar lebih 80 judul termasuk riwayat Rasulullah

SHAH ALAM, 14 MEI: Lebih 80 judul buku termasuk karya terlaris Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal ditawarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai 24 Mei.

Diterjemahkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), naskhah lain yang boleh didapati termasuk Gelagat dan Ragam Orang Melayu, dan Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9.

“Kira-kira 15,000 hingga 20,000 buku daripada lebih 80 judul ditawarkan kepada pengunjung sepanjang 10 hari pesta,” kata Eksekutif Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood.

Dibantu dana Kerajaan Negeri, IBDE kini bekerjasama dengan Media Selangor Sdn Bhd selepas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor untuk menjayakan projek terjemahan karya dunia bawah Siri Pencerahan Selangor sejak 2016.

Terjemahan buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE)

Terjemahan 20 jilid kitab utama Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, dijayakan dengan sokongan dana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sejak 2023. Setakat ini lima jilid sudah diterbitkan.

Judul baharu yang bakal dijual termasuklah Manusia Asuhan Rusa, Kepada Rumah Api dan 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa.

PBAKL, pesta buku terbesar di negara ini, berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sehigga 2 Jun.

Dihubungi Selangorkini, Mohammad Hakim menambah pembeli juga bakal menikmati diskaun di gerai IBDE antara 10 hingga 20 peratus, selain berpeluang memenangi cabutan bertuah dan hadiah istimewa.

“Pembelian RM150 ke atas layak menerima hadiah istimewa, manakala bagi RM200 ke atas layak mengambil bahagian dalam cabutan bertuah,” katanya lagi.

Orang ramai yang berminat dengan karya terbitan IBDE boleh mendapatkannya di reruai 4053 hingga 4060, Dewan Tun Razak 4 dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Karya terbitan IBDE juga boleh didapati secara dalam talian menerusi pautan bukuibde.com. Senarai buku baharu boleh disemak di Facebook Buku IBDE.


Pengarang :