Keadaan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mula beroperasi bagi Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa ketika tinjauan pada 14 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Individu cedera dagu akibat terkena tali di Lebuhraya SUKE diminta buat laporan

KUALA LUMPUR,14 MEI: Polis meminta individu yang mendakwa cedera di dagu akibat ‘terkena’ tali yang dipasang secara melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai di sini, tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata pihaknya mengesan satu hantaran berhubung kejadian itu yang tular di media sosial semalam.

“Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa dagunya terkoyak akibat terkena tali yang melintang di SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Tol Bukit Teratai kira-kira 6.30 petang, semalam.

“Pada masa sama, polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali lebuh raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian dan meminta kerjasama mangsa serta saksi untuk tampil membuat laporan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden berkaitan.

– BERNAMA


Pengarang :