Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media ketika Pelancaran Kempen “Jom Auto Zakat Bulanan” pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Wisma PKPS, Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS tekad tangani miskin bandar, tumpu pelbagai aspek termasuk pendidikan

SHAH ALAM, 14 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) tekad menangani isu kemiskinan di negeri ini dengan memberi tumpuan dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata buat masa ini, tumpuan dalam usaha menoktahkan kadar kemiskinan dikhususkan di kawasan bandar.

“Berdasarkan data tahun lalu, tiga daera mencatat kadar kemiskinan tertinggi iaitu Petaling seramai 12,095, Klang (11,477) dan Hulu Langat (9,621).

“Berikutan itu, kita dalam usaha menumpukan kaedah atau formula bersama untuk menangani kemiskinan khususnya di kawasan bandar.

“Kita cuba untuk menoktahkan kemiskinan bagi generasi kedua melalui pendidikan, kemahiran dan beberapa platform lain,” katanya ditemui hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tengah) bersama pemenang ketika pelancaran kempen “Jom Auto Zakat Bulanan” pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (Grasiaz) 2024 di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Terdahulu, LZS menganjurkan Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (Grasiaz) sebagai penghargaan dalam membantu kutipan dan agihan zakat.

Pada majlis tersebut, AUB Resources menerima Anugerah Prestasi Kutipan Tertinggi 2023 bagi kategori Ejen Perunding dan Anugerah Muaz bin Jalal.

Manakala, bagi Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2023 kategori platform saluran pembayaran diberikan kepada Touch N Go E Wallet.


Pengarang :