Wakil pihak berkuasa, polis dan pengendali Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melawat lebuh raya berkenaan selepas penunggang motosikal cedera di dagu terkena tali melintang di susur keluar Taman Kosas menghala ke Tol Bukit Teratai 6.30 petang, 13 Mei 2024. Foto laman X @altimet
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN, pengendali lebuh raya usaha tangani kejadian pengguna cedera terkena tali melintang

SHAH ALAM, 14 MEI: Satu pertemuan akan diadakan minggu ini bagi membincangkan isu tular membabitkan pengguna Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mendakwa cedera terkena tali melintang di lebuh raya itu.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata pertemuan pihaknya bersama pengendali lebuh raya iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) untuk perbincangan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ia tidak seharusnya berlaku. Saya rasa kecewa sebab kami dah cuba tangani masalah ini sebelum ini dengan kerjasama (pihak) saya, Prolintas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan ketua kampung.

“Saya sudah hubungi pihak lebuh raya dan ada mesyuarat lagi berkenaan (perkara) ini, minggu ini juga,” kata Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet ketika dihubungi.

Mengulas lanjut Syed Ahmad berkata beliau pernah menerima satu aduan sebelum ini dan berharap siasatan lanjut diadakan pihak berwajib bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Saya mengharapkan kejadian ini tidak lagi berulang dan pihak berkenaan boleh melakukan siasatan sama ada ia berkait jenayah atau tidak.

ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) bercakap kepada Media Selangor selepas meninjau program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Ampang Campuran, Ampang Jaya pada 4 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya juga akan meninjau sendiri laluan tersebut untuk mengetahui lanjut dan mengenal pasti apa yang boleh dilakukan,” katanya yang akan turut memanjangkan isu itu dalam sesi ‘townhall’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor esok.

Sebelum ini Syed Ahmad dalam ciapan di laman X, berkongsi kepada pihak lebuh raya dan mahu mereka ambil maklum mengenai kecederaan menimpa seorang penunggang motosikal.

Difahamkan, mangsa cedera di bahagian bawah dagu selepas terkena tali yang melintang di kawasan selepas susur keluar Taman Kosas Ampang menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai lebuh raya itu.

Prolintas sebelum ini di laman X berkata tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membiarkan tali layang-layang yang putus di merata tempat termasuk di lebuh raya membahayakan orang awam, menyebabkan kecederaan dan lebih parah berisiko mengakibatkan kemalangan jiwa.

Menurut pengendali lebuh raya itu beberapa libat urus telah diadakan bersama pihak berkuasa tempatan dan persatuan komuniti setempat di Ampang, Lembah Jaya dan kawasan sekitar bagi menyelesaikan isu berkenaan namun insiden sama masih berulang.

Justeru pihaknya menggesa semua pihak memandang serius dan mengambil berat perkara berkenaan sebelum insiden lebih parah berlaku.

 


Pengarang :