Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan FC Levy Clement Mandinda (kanan) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 4 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Dipindah ke wad biasa, Faisal Halim teringin makan nasi kandar

SHAH ALAM, 14 MEI: Pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim hari ini telah dipindahkan ke wad biasa selepas kira-kira sembilan hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan disimbah asid baru-baru ini.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar sambil menegaskan Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim akan tetap berada di bawah pemantauan rapi untuk rawatan susulan dan masih tidak dibenarkan menerima pelawat.

“Hari ini Faisal telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa tetapi masih lagi tidak dibenarkan pelawat, kerana keadaan masih agak sensitif, tetapi Alhamdulillah Faisal stabil.

“Pakar masih lagi memantau rapi keadaan Faisal, insya-Allah prosedur atau pembedahan seterusnya difahamkan akan berjalan minggu depan iaitu pada Isnin atau Selasa,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan doktor pakar yang merawat Faisal di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahril berkata percakapan Faisal Halim atau lebih mesra disapa ‘Mickey’ semakin jelas, selain selera makan pemain berusia 26 tahun itu juga meningkat.

“Hampir setiap hari saya ada pesanan nota suara dengan Faisal, percakapannya semakin jelas, itu yang penting. Keduanya selera makan sudah bertambah, saya difahamkan bukan hanya makan diet lembut, dia juga boleh makan diet biasa, saya dengar beliau ada ingin cuba dan teringin nasi kandar dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata pihaknya belum menerima sebarang perkembangan daripada pihak polis berhubung insiden yang menimpa Faisal Halim itu.

“Saya difahamkan siasatan masih berjalan cuma harapan saya buatlah betul-betul, kita minta yang baik-baik…saya (juga) harap IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain) kalau boleh dari semasa ke semasa maklumkan perkembangan sebab Faisal ni hero negara, beliau pemain kebangsaan dan ada ramai pengikut.

“Jadi harapan saya supaya kalau ada apa-apa perkembangan yang tidak begitu sensitif saya harap pihak yang berwajib dapat beritahu perkembangan kepada kami,” katanya sambil mengesahkan polis sudah merakam percakapan Faisal Halim sebanyak dua kali setakat ini.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei.

– BERNAMA

 


Pengarang :