Umat Islam bersembahyang di Masjidil Haram semasa ziarah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi pada 8 Ogos 2019. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Tindakan tunai haji tanpa ikut saluran sah berdosa, haram

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 14 MEI: Tindakan rakyat Malaysia yang tidak mengikut saluran dan proses betul untuk menunaikan haji adalah berdosa dan haram berdasarkan fatwa kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tanah Suci Lembaga Tabung Haji (TH) Shahrin Awaludin berkata dalam Islam penting untuk taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin atau peraturan sedia ada dalam melakukan sesuatu perkara.

“Sebab itu dalam konteks haji, baru-baru ini kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama tertinggi mengesahkan bahawa hukum jemaah haji yang datang tanpa proses atau peraturan yang betul adalah haram dan berdosa.

“Haji adalah satu-satunya ibadah bagi orang yang berkemampuan. Selain daripada kemampuan kewangan, keamanan, kesihatan, mereka juga perlu memenuhi syarat kuota dan ada permit untuk menunaikan haji,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat TH di sini semalam.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu supaya tidak terlalu ghairah tanpa mengambil kira peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia mahupun Arab Saudi.

Menurutnya ini kerana haji bukan ibadah suka-suka dilakukan sebaliknya perlu dilakukan mengikut adab dan peraturan selain dilaksanakan berlandaskan hukum syarak.

“Walau kita mampu sekali pun, itu tidak mencukupi maka kita kena tunggu. Kita kena yakin kepada Allah bahawa untuk menunaikan haji ini adalah jemputan daripada-Nya.

“Insya-Allah jika ada jemputan menjadi duyufurrahman kita akan sampai juga. Kalau kita pergi tanpa mengambil kira perkara ini bimbang memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk keluarga dan mungkin negara akan terlibat,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial menyatakan bahawa kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial selepas dihubungi rakannya yang meminta untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Ia mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mengarahkan TH melakukan siasatan berhubung kejadian yang menimpa bakal jemaah haji berkenaan.

Majlis Ulama Kanan Arab Saudi baru-baru ini menegaskan umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah haji wajib mendapatkan permit haji terlebih dahulu mengikut undang-undang syariah negara itu dan mereka yang tidak berbuat demikian adalah berdosa.

Kerajaan Arab Saudi turut mengumumkan penguatkuasaan penalti SAR10,000 bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji antaranya Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Penalti yang berkuat kuasa mulai 2 hingga 20 Jun itu akan dikenakan kepada semua individu termasuk warga tempatan, pemastautin dan pengunjung yang ditangkap di dalam kawasan berkenaan tanpa permit sah.

– BERNAMA


Pengarang :