Bekas pemain All Blacks Sonny Bill Williams beraksi untuk pasukan itu semasa perlawanan Piala Bledisloe pada 2019. Foto laman web Fox Sports
AGENDASUKANKINI

Bekas bintang All Blacks titip doa buat Faisal Halim (VIDEO)

SHAH ALAM, 15 MEI: Bekas bintang ragbi All Blacks Sonny Bill Williams mendoakan pemain sayap Selangor FC Faisal Halim cepat sembuh susulan insiden disimbah asid, baru-baru ini.

Menerusi video pendek yang dikongsikan di Twitter Selangor FC, Sonny turut berharap Faisal dan keluarganya terus tabah dalam menghadapi ujian selain dipermudahkan urusan.

“Assalamualaikum Faisal, Sonny Bill Williams di sini. Saya mendoakan anda cepat sembuh. Semoga Allah SWT mempermudah semua urusan buat anda serta seluruh keluarga.

“Insya-Allah, anda kekal kuat. Dalam setiap kesusahan, pasti ada kemudahan. Dan ia akan segera datang kepada anda. Jaga diri. Assalamualaikum,” katanya.

Faisal dirawat selepas mengalami kelecuran tahap empat susulan disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu.

Tonggak sayap kebangsaan itu juga sudah melalui tiga proses pembedahan termasuk prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tersebut.

Semalam, ahli lembaga pengarah Selangor FC dilaporkan berkata Faisal mungkin dibenarkan pulang sekurang-kurangnya dua minggu lagi selepas keadaan kesihatannya bertambah baik.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata doktor masih memantau tahap pemulihannya dan hanya pakar yang boleh memberikan jawapan tepat mengenai tempoh masa itu.

 


Pengarang :