Paparan iklan *Stand with Faisal Halim stop the violence* di papan iklan elektronik MBSA di sekitar Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor FC lancar kempen solidariti Faisal Halim, papar mesej sokongan di papan iklan

SHAH ALAM, 15 MEI: Pengurusan Selangor FC melancarkan kempen solidariti terhadap pemainnya Faisal Halim yang cedera disimbah asid dengan paparan mesej sokongan pada papan iklan statik dan elektronik di setiap pihak berkuasa tempatan.

Paparan iklan *Stand with Faisal Halim stop the violence* di papan iklan elektronik MBSA di sekitar Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Ketua Pegawai Operasinya Aladdin Mostafa berkata kempen memaparkan mesej Stand With Faisal Halim:Stop The Violence itu bermula sejak minggu lalu sebagai tanda menolak sebarang keganasan dan provokasi dalam industri sukan.

“Kita melancarkan kempen ini sebagai tanda menolak sebarang keganasan dan provokasi dalam industri sama ada membabitkan pemain bola sepak, pegawai dan penyokong.

“Menerusi kempen ini, kita bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan menggunakan papan iklan selama sebulan bagi menyuarakan isu ini sekali gus tidak mencemar industri bola sepak,” katanya dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata sebanyak empat papan iklan elektronik memaparkan mesej sebagai tanda sokongan kepada pemain bola sepak negara itu.

“Lokasi tersebut ialah di Lebuhraya Persekutuan, Dataran Shah Alam, Seksyen 9 (Hotel Concorde) dan Bulatan Kayangan. Ini adalah sebahagian daripada menyokong usaha Selangor FC dan tanda menolak sekeras-kerasnya sebarang keganasan.

Paparan iklan *Stand with Faisal Halim stop the violence* di papan iklan elektronik MBSA di sekitar Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Selain itu, MBSA berharap dengan usaha ini dapat menjadi pembakar semangat kepada Faisal Halim untuk sembuh dan terus beraksi mengharumkan nama negara,” katanya.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

 


Pengarang :