AGENDASUKANKINI

Ayuh penuhi stadium, tepuk minit ketujuh tanda solidariti buat Faisal

SHAH ALAM, 16 MEI: Penyokong Gergasi Merah diseru menzahirkan solidariti buat Faisal Halim dengan menjayakan kempen bangun dan tepuk di minit ke-7 pada perlawanan Selangor FC menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium MBPJ, Sabtu ini.

Selangor FC berharap penyokong dapat memenuhi stadium bagi memberi semangat kepada pasukan yang membuka kempen Liga Super berdepan Sang Kenari disamping memberi sokongan terhadap Faisal yang kini dalam proses pemulihan selepas cedera disimbah asid.

“Ayuh, gemakan stadium dengan sorakan anda disamping kita sama-sama menzahirkan tanda solidariti buat Faisal Halim pada perlawanan Liga Super.

“Ayuh, Gergasi Merah, kita kasi jadi!” seru Selangor FC di Facebook yang turut memaklumkan tiket perlawanan berkenaan boleh diperoleh di TicketHotline.com.my

Dalam hantaran berasingan, Selangor FC turut memuat naik potongan video mengimbau jaringan yang dihasilkan Faisal ketika kali terakhir pasukan itu bertemu KDA FC di Stadium MBPJ.

Sebelum ini, pengurusan Selangor FC turut melancarkan kempen solidariti terhadap Faisal dengan paparan mesej sokongan pada papan iklan statik dan elektronik di setiap pihak berkuasa tempatan.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.


Pengarang :