Dato’ Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tiga, kiri) selepas diumumkan sebagai wakil rakyat Kuala Kubu Bharu yang baharu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada 11 MEI 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Kemenangan pilihan raya KKB bukti Kerajaan Perpaduan diterima rakyat

SHAH ALAM, 16 MEI: Walau isu kaum dan aga-ma masih menguasai perbualan politik, pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu (KKB) menunjukkan ia bukannya faktor penentu kemenangan calon. Ramai pengundi memilih jalur pertimbangan lain.

Meski Perikatan Nasional (PN) cuba menangguk isu kaum dan agama seperti pilihan raya umum November 2022 dan pilihan raya negeri Ogos 2023, masih ada yang memikirkan persoalan lebih pen-ting seperti kejayaan Kerajaan Negeri.

Tinjauan Ilham Centre menjelang hari mengundi 11 Mei mendapati warga KKB memandang cukup positif: pentadbiran negeri (74.0 peratus tahap kepuasan), kepemimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (70.8 peratus) dan khidmat mendiang Lee Kee Hiong (63.0 peratus).

Kaji selidik itu juga mendapati pengundi mula mempertikai wakil-wakil rakyat PN yang memenangi dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri, Batang Kali serta Hulu Bernam, dan kawasan parlimen Hulu Selangor.

“Isu Yang Berhormat PN tidak perform (tunjuk khidmat) menjadi topik perbincangan pengundi di sini,” kata badan penyelidik itu dalam laporan tinjauannya pada 10 Mei.

Susulan itu, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya menguasai lebih banyak pusat daerah mengundi (PDM), termasuk pemilih Melayu, yang sebelum ini condong kepada pembangkang.

Amirudin, yang juga pengerusi HARAPAN Selangor, berkata keputusan di peringkat lokaliti (PDM) menunjukkan “sokongan yang diberikan kepada calon Kerajaan Perpaduan meningkat secara menyeluruh.”

Katanya, kemenangan Pang Sock Tao menunjukkan “kepercayaan orang Melayu berkembang, manakala sokongan kaum Cina dan India serta Orang Asli terus mengukuh.”

Calon HARAPAN menang dengan majoriti 3,869 undi, kurang sedikit daripada 4,119 yang diraih Kee Hiong pada 2023, apabila mengutip 14,000 undi berban-
ding pencabar terdekatnya Khairul Azhari Saut (PN).

Penurunan ini antaranya akibat peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, daripada 69.1 peratus pada Ogos kepada 61.5 peratus kali ini. Jumlah undi dua calon teratas ini juga berkurang: Sock Tao 862 undi dan Khairul (612 undi).

Pengarah pilihan raya HARAPAN bagi pilihan raya kecil ini Ng Sze Han menjelaskan sokongan terhadap gabungan itu meningkat merentasi semua kumpulan etnik, daripada 54.4 peratus pada Ogos lepas kepada 56.57 peratus.

Sokongan pengundi Melayu meningkat hampir tiga peratus kepada 40.4 peratus daripada 37.7 peratus dan Cina pula meningkat lebih tiga peratus kepada 87.1 peratus (83.9 peratus).

Sze Han, yang juga setiausaha DAP negeri, berkata sokongan pengundi India dan pasukan tentera serta polis di KKB turut meningkat dengan ketara, ma-sing-masing sebanyak 24 peratus dan 40 peratus.

Menurut Ilham Centre lagi, naratif kaum dan agama gaya PN malah merisaukan pengundi Cina walau masih ada isu-isu pentadbiran kerajaan yang kurang menyenangkan mereka.

“Ketidakpuasan hati mereka kepada HARAPAN tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan beralih sokongan kepada PN. Ini disebabkan faktor penolakan daripada PN tersebut lebih besar berbanding faktor tidak selesa dengan HARAPAN dan Kerajaan Perpaduan,” kata laporan kajian itu lagi.

“Mereka mendakwa pendekatan PN keras dan tidak lunak kepada komuniti Cina, banyak isu menyebabkan mereka menjarakkan diri daripada PN antaranya singgungan PAS terhadap sekolah vernakular.”

Keputusan pengundi mengekalkan kerusi KKB di tangan wakil kerajaan membayangkan rakyat masih berharap pentadbiran sekarang diteruskan, bukan seperti hasrat pembangkang untuk menjadikannya “referendum”.

Hakikatnya Kerajaan Perpaduan bawah kepemimpinan Amirudin terus merekod pelbagai kemajuan, sejak 2018, selain menambah baik pakej kebajikan Iltizam Selangor Penyayang.

Kerajaan Perpaduan di Putrajaya bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bertungkus lumus membela kepentingan rakyat pelbagai kaum dan membawa kemajuan ekonomi walau usia pentadbirannya hanya 18 bulan.


Pengarang :