Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada 24 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri saran utamakan artis veteran ketika anjur program

PUTRAJAYA, 16 MEI: Artis vateran akan menjadi keutamaan dalam majlis atau program Kementerian Komunikasi bagi membuat persembahan untuk memastikan golongan berkenaan dapat terus berkarya.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa telah dimaklumkan bagi melaksanakan pendekatan itu, selain ia turut disarankan untuk dilaksanakan di peringkat agensi dan jabatan di bawah kementerian.

“Sebarang majlis anjuran Kementerian Komunikasi yang memerlukan kehadiran artis luar, perlu mengutamakan artis veteran… sila pertimbangkan dan beri peluang artis veteran terus tabur bakti kepada negara dan beri mereka peluang selain (ia) menggalakkan mereka berkarya.

“Inisiatif ini dapat meringankan beban artis veteran yang sering kali kita lihat menempuh hari-hari sukar dan mencabar, usaha ini bersesuaian dengan inisiatif kementerian yang akan sentiasa menyantuni masyarakat, khususnya mereka yang pernah menghiburkan kita pada satu masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.

Sebagai penjawat awam berkhidmat di kementerian berperanan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, Fahmi mahu semua penerima APC mengetahui tentang beberapa inisiatif diumumkan kerajaan sebelum ini iaitu Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat; Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030); Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Semua perkara ini kalau anda tidak dapat ingat, bagaimana nak sampaikan kepada rakyat. Anda semua landasan yang kukuh dan asas kepada semua inisiatif ini,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan agar semua penerima APC bukan sekadar menonjolkan kecemerlangan di tempat kerja sahaja, tetapi perlu diteruskan dalam kehidupan seharian dan menjadi contoh terbaik kepada rakan sejawat.

“Anda kena jadi contoh terbaik kepada kawan-kawan lain agar mereka tidak terlibat dengan rasuah, culas melaksanakan tanggungjawab dan sedia berkhidmat untuk negara,” katanya.


Pengarang :