Ilustrasi tekanan mental yang dialami seorang lelaki. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sejuta penduduk Malaysia usia lebih 15 tahun alami kemurungan

PUTRAJAYA, 16 MEI: Sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan, demikian menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dikeluarkan hari ini.

NHMS 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan itu yang dilaksana bagi mengumpul maklumat kesihatan dan prevalens dalam kalangan penduduk negara ini, dilancarkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini.

Menurut dapatan utama NHMS 2023 bilangan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023.

“Hampir separuh daripada mereka telah berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri,” menurut laporan itu.

Selain itu, NHMS 2023 turut mendedahkan satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, dan beban masalah kesihatan mental dilapor meningkat dua kali ganda sejak 2019.

Antara faktor masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah dengan rakan sebaya, tingkah laku, emosi dan hiperaktif.

NHMS 2023 juga mendedahkan lebih daripada 500,000 orang dewasa atau merangkumi 2.5 peratus dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, dan obesiti.

Dalam sidang media selepas melancarkan NHMS 2023, Dr Dzulkefly berkata trend peningkatan prevalens orang dewasa yang berlebihan berat badan dan obesiti memerlukan perhatian serius serta tindakan segera oleh KKM.

“Antara satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan prevalens ini adalah pengambilan gula berlebihan.

“Bagi membendung masalah ini, kerajaan telah melaksanakan pendekatan langkah fiskal iaitu mengenakan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pracampuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :