AGENDAJENAYAH

Pemandu lori maut kemalangan tiga kenderaan, lebuh raya sesak 13 kilometer

IPOH, 17 MEI: Pemandu lori muatan telur maut apabila kenderaannya terlibat kemalangan dengan dua lori muatan buah-buahan di Kilometer 367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Slim River pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari arah Sungkai menghala ke Slim River pada 5.45 pagi.

“Sebuah lori merintangi jalan dan semua lorong terhalang, sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13 kilometer. Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan keluar ke tol Tapah, Bidor atau Sungkai sebagai laluan alternatif, bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan ketika kerja pembersihan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor, dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 4.40 pagi.

Beliau berkata kemalangan melibatkan tiga lori iaitu lori muatan telur ayam serta dua lagi lori muatan buah-buahan.

“Ketiga-tiga lori ini berlanggar dan terbalik merintangi dan menghalang sepenuhnya laluan di lebuh raya arah selatan.

“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam lori muatan telur ayam dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi manakala dua lagi pemandu lori masing-masing cedera dan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kerja pembersihan giat dijalankan ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :