Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengukur paras banjir selepas daerah Kulim Bandar Baharu dilanda banjir pada 16 Mei 2024. Foto Facebook APM Negeri Kedah
AGENDANASIONAL

282 mangsa banjir Perak, Kedah dipindah ke lapan PPS takat pagi ini

IPOH, 17 MEI: Seramai 150 mangsa dari 52 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat melanda tiga daerah di Perak, tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, empat PPS dibuka di daerah Taiping iaitu di Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Termelok, menempatkan 78 mangsa dari 30 keluarga dari Kampung Sungai Baru, Kampung Dato Sagor, Kampung Senduk Seberang, Kampung Batu 8, Kampung Temerlok dan Kampung Nibong.

“Sebuah PPS dibuka di daerah Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak, menempatkan 42 mangsa dari 10 keluarga dari Bt 9 Jalan Changkat Jong.

“Di daerah Kuala Kangsar, satu PPS dibuka di SK Periang, yang menempatkan 30 mangsa dari 12 keluarga dari Kg Periang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan banjir kilat berlaku akibat hujan lebat berterusan malam tadi, menyebabkan paras air di dua sungai iaitu Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar, naik dan berada pada paras berjaga-jaga.

Sementara itu, di Kedah 132 penduduk daripada 31 keluarga di daerah Kulim dan Bandar Baharu dipindahkan ke dua PPS berikutan banjir kilat selepas hujan lebat petang, semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata seramai 74 mangsa terdiri daripada 17 keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ihsaniah, Jangkang, yang dibuka pada jam 12.12 tengah malam tadi.

“Kesemua mangsa membabitkan penduduk Kampung Padang Limau yang terjejas banjir kilat selepas hujan lebat menyebabkan air di kawasan bukit melimpah ke kawasan rendah.

“Setakat ini anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan di lokasi yang berpotensi dinaiki air dan mengukur paras air di setiap lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata 58 mangsa daripada 14 keluarga, dipindahkan di daerah Bandar Baharu.

Beliau berkata kesemua mereka yang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Tengas, Kampung Sungai Batu dan Kampung Cherok Meranti dipindahkan ke PPS Masjid Sungai Batu yang dibuka 3 pagi tadi.

“Kejadian hujan lebat pada 6 petang semalam melebihi tiga jam, menyebabkan kawasan terjejas dinaiki air selain limpahan air Sungai Terunsing yang berada berhampiran kawasan penduduk,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :