Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Malaysia sokong Afrika Selatan mohon ICJ hentikan genosid Israel di Palestin

PUTRAJAYA, 17 MEI: Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha Afrika Selatan untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah sementara tambahan ke atas Israel pada sesi pendengaran awam yang diadakan di Peace Palace, The Hague dari 16 hingga 17 Mei.

Ini merupakan permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak ICJ menetapkan langkah sementara pada 26 Januari.

Langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera dan melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.

Afrika Selatan turut mendesak supaya Israel melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah sementara kepada ICJ.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada 22 Februari menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di sesi pendengaran awam berhubung permohonan bagi mendapatkan pendapat nasihat ICJ mengenai kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur yang diadakan di Peace Palace, The Hague.

“Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya.

“Serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar,” menurut kenyataan itu.

Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB.

– BERNAMA


Pengarang :