Kumpulan pertama seramai 282 orang jemaah haji Malaysia, selamat tiba di Mekah selepas enam hari berada di Madinah pada 14 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hasil tabungan ibu bapa sejak kecil, lima anak dapat tunai haji serentak

MAKKAH, 17 MEI: Pengorbanan sepasang suami isteri menabung untuk anak-anak sejak kecil dalam akaun Tabung Haji (TH) dengan harapan untuk melihat kesemua anak mereka dapat menunaikan haji di usia muda, akhirnya membuahkan hasil apabila lima daripada enam anak pasangan itu terpilih sebagai duyufurrahman tahun ini.

Biarpun terpaksa mengikat perut, kegigihan Abdul Wahab Md Saad, 63, dan Norani Mohamed Noh, 60, yang masing-masing sebelum ini pekerja swasta dan jururawat, menyimpan wang secara konsisten sejak dari muda hingga pencen membolehkan kelima-lima anaknya itu dapat menunaikan haji serentak.

Mereka ialah Nurul Adila Farhana, 36, Mohd Farid Firdaus, 35, Nurul Fitriah, 32, Mohd Fadhzli, 29, dan Nurul Syakila, 27, dan tambah bermakna apabila tiga daripada menantu pasangan itu turut dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci iaitu Azizan Azhari, 36, Mohd Riduan Moh Sani, 35, dan Isyarah Ibrahim, 36.

Bagaimanapun, pasangan berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu tidak turut serta dengan anak-anak mereka menunaikan haji pada tahun ini kerana telah menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2015.

Berkongsi kisah kegigihan ibu bapanya, anak kedua pasangan itu Mohd Farid Firdaus berkata walaupun kedua orang tuanya bekerja ketika itu kehidupan mereka sekeluarga tidaklah mudah.

Bagaimanapun, katanya dengan gaji yang tidak seberapa itu, ibu bapanya tetap memastikan setiap bulan sekurang-kurangnya RM50 dimasukkan dalam akaun TH adik-beradiknya.

“Dulu kami susah, ibu pun bermula dari bawah (sebelum bersara sebagai ketua jururawat) dan dia sanggup buat potongan gaji sikit demi sikit bagi memastikan kelima-lima anaknya dapat menunaikan haji.

“Walaupun susah ibu tetap bertahan, berapa ringgitlah yang tinggal setiap bulan. Kami tak tahu kesusahan yang ditanggung mereka kerana masih kecil, namun atas pengorbanan itu kami kini dapat menunaikan haji bersama-sama,” katanya kepada petugas media ketika ditemui di Hotel Abraj Al Janadiriyah di sini semalam.

Mohamad Fadhzli, 29, yang merupakan anak keempat pula berkata kedua ibu bapanya mahu mereka mengerjakan haji di usia muda agar dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan sihat.

“Permohonan untuk menunaikan haji ini dibuat serentak oleh ibu bapa kami pada 2009. Mereka mula menabung untuk semua anak-anak sejak kecil lagi secara bulanan hingga kami berumur 18 tahun.

“Apabila berumur 18 tahun ibu menyerahkan kepada kami akaun berkenaan untuk diteruskan tabungan hingga permohonan kami diterima serentak,” katanya.

Dalam pada itu, kakak sulung mereka Nurul Adilla Farhana turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya atas pengorbanan yang dilakukan selama ini hingga membolehkan mereka adik-beradik dapat menunaikan haji bersama-sama.

“Sebelum datang sini, ibu dan ayah pesan walau sesusah mana kami adik-beradik kena bersatu dan tolong-menolong, jangan berpecah dan sentiasa minta tolong dengan Allah jika ada kesusahan selain minta dimurahkan rezeki kepada kami sekeluarga.

“Ibu dan ayah juga mahu kami fokus menunaikan haji serta tidak perlu risaukan dengan keadaan mereka di tanah air, malah mereka juga mahu kami reda jika berlaku apa-apa terhadap mereka sepanjang ketiadaan kami dan begitulah sebaliknya,” katanya dalam keadaan menahan sebak.

-BERNAMA

 


Pengarang :